Thursday 19 January 2012

Pemuda PAS Puchong dan JUHAM Minta Polis Siasat Satim Diman

Pemuda PAS Puchong dan JUHAM Minta Polis Siasat Satim Diman


PUCHONG, 21 Nov: Dewan Pemuda PAS Puchong bersama-sama dengan Jabatan Undang-undang dan Hak Asasi Manusia, Dewan Pemuda PAS Malaysia (Juham) telah membuat laporan polis terhadap Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Dr Mohamad Satim Diman, semalam.

Mereka meminta pihak polis menyiasat isu penyelewengan tanah yang dilakukan Adun Seri Serdang itu rentetan daripada perbahasan oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam sidang Dun lalu berhubung penyelewengan penjualan tanah Kerajaan Negeri Selangor di Science Park 2, Cyberjaya pada 2006.

Laporan polis tersebut dibuat oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Puchong, Rosharizan Mohd Rozlan dengan diiringi oleh peguam daripada Juham, Noorhisam Abdullah di Balai Polis Bukit Puchong.

Menteri Besar Selangor pada 15 November lepas mendakwa penyelewengan tersebut berlaku pada tahun 2006 apabila Datuk Dr Mohamad Satim Diman menjual tanah milik kerajaan negeri Selangor di Science Park 2, Cyberjaya kepada Mikmat Inai Sdn Bhd di bawah harga pasaran semasa di mana Mohamad Satim pada masa material merupakan ahli lembaga pengarah dan pemegang saham utama Nikmat Inai Sdn Bhd.

Justeru, Dewan Pemuda PAS Puchong dan Juham menyeru kepada pihak polis supaya menyiasat perkara ini secara telus kerana ia membabitkan wang kerajaan negeri Selangor dan juga rakyat Selangor secara keseluruhannya.

Pada masa yang sama, Dewan Pemuda PAS Puchong dan Juham mendesak Mohamad Satim memberikan penjelasan secara terbuka bagi menjawab pertuduhan serius yang dikenakan terhadapnya.