Thursday 1 March 2012

Kenapa konsesi Jambatan Pulau Pinang 17 tahun?

Kenapa konsesi Jambatan Pulau Pinang 17 tahun?

Lim Guan Eng,01 Mac 2012
Kenapakah tempoh konsesi Jambatan Pulau Pinang dilanjutkan 17 tahun dari 2021 ke 2038 hanya untuk mengelak daripada membayar kenaikan tol 10% setiap lima tahun?

Saya berasa dukacita bahawa Menteri dalam Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop gagal untuk menerima cabaran debat umum di kawasan beliau malam ini atas topik sama ada pemansuhan tol Lebuhraya Utara-Selatan (NSE) dan Jambatan Pulau Pinang akan menjadikan negara kita bankrap.

Malaysia tidak akan bankrap jika PR memansuhkan tol NSE dan Jambatan Pulau Pinang sekiranya kita memenangi Pilihan Raya Umum yang akan datang. Yang akan menjadikan Malaysia bankrap adalah rasuah, penyalahgunaan kuasa dan kronisme.

Saya juga ingin tanya Tan Sri mengenai semakan semula tol. Kenapakah Kerajaan Persekutuan memangsakan Pulau Pinang dengan melanjutkan tempoh konsesi Jambatan Pulau Pinang selama 17 tahun sehingga 2038 dan Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE) selama 11 tahun sehingga 2038, sebagai balasan untuk pembekuan kenaikan tol (lihat rajah di bawah)? Untuk BKE, pembekuan kenaikan tol hanya sampai 2015, dan kadar tol akan dinaikkan 5% setiap 3 tahun dari 2016.

PENGECUALIAN PAMPASAN TOL ~ SEMAKAN SEMULA TERMA KONSESI

Lebuhraya
Sekarang hingga 2015
Struktur tol Semasa
Struktur tol baru
Tarikh luput semasa konsesi
Tarikh luput baru konsesi
NSE
Tiada kenaikan
10% setiap tiga tahun

5% pada 2016 and setiap tiga tahun selepas
Dec 31, 2038





Dec 31, 2038

Elite
Tiada kenaikan
10% setiap tiga tahun
May 31, 2030
Linkedua
Tiada kenaikan
25% setiap lima tahun
Dec 31, 2038
BKE
Tiada kenaikan
15% - 25% setiap lima tahun
June 27, 2026
Penang Bridge
Tiada kenaikan
10% setiap lima tahun
Tiada kenaikan
Dec 31, 2021

Pemansuhan tol NSE dan Jambatan Pulau Pinang tidak akan menjadikan negara bankrap tetapi adalah betul dari segi moral dan etika. Yang tidak berhati perut dan tidak adil kepada rakyat adalah hakikat bahawa syarikat-syarikat pengendali tol sedang mengaut keuntungan yang sangat tinggi walaupun kos pelaburan asal untuk pembinaan sudah habis dikutip.

Jawapan bertulis Parlimen kepada saya telah menunjukkan bahawa syarikat pengendali tol NSE telah membelanjakan RM5,945 juta untuk pembinaan lebuhraya tersebut, tetapi sudah menerima sebanyak RM24,266 juta daripada kutipan tol dan pampasan kerajaan setakat 31.12.2010. Dalam erti kata lain, syarikat pengendali tol NSE telah mencatat lebihan sebanyak RM18,321 juta setakat 31.12.2010 daripada pelaburan asal.

Adakah perlu lagi untuk syarikat tersebut untuk mengutip lagi banyak tol daripada rakyat apatah lagi untuk menaikkan kadar tol? Sepatutnya, dan jika diambil kira kepentingan rakyat, kutipan tol bagi NSE patut dihentikan serta merta memandangkan hasil kutipannya yang berjumlah RM18.3 bilion sudah pun 3 kali ganda pelaburan asal iaitu RM6 bilion.

Keadaannya serupa untuk Jambatan Pulau Pinang yang telah mengutip sebanyak RM1,859 juta dengan kos pembinaan RM944 juta. Lebihan yang dicatat sebanyak RM924 juta. Bagi BKE, tol yang dikutip berjumlah RM340 juta manakala kos pembinaannya RM256 juta, iaitu lebihan sebanyak RM84 juta. Rakyat Pulau Pinang bukan sahaja tidak sepatutnya terus dibebani tol sehingga 31 Disember 2038, malah tol bagi Jambatan Pulau Pinang dan BKE harus dihentikan serta merta.

Kos Maksimum RM50 Bilion Untuk Pemansuhan NSE dan Jambatan Pulau Pinang Tidak Akan Menjadikan Malaysia Bankrap

Kos maksimum untuk pemansuhan NSE dan Jambatan Pulau Pinang adalah RM50 bilion, iaitu RM40 bilion untuk NSE dan RM10 bilion untuk Jambatan Pulau Pinang. RM50 bilion tidak akan menjadikan negara bankrap. Yang akan menjadikan negara bankrap adalah rasuah, penyalahgunaan kuasa dan kronisme. Lagipun, kos projek MRT baru pun sudah mencecah RM50 bilion.

Malaysia mampu membayar RM50 bilion untuk memansuhkan tol Jambatan Pulau Pinang dan NSE tetapi tidak mampu menanggung rasuah yang berjumlah 100 bilion dolar Amerika (RM350 bilion). Laporan Global Financial Integriti telah menunjukkan bahawa sejumlah RM1,077 bilion wang haram telah dibawa keluar dari Malaysia dalam dekad yang hilang dek korupsi dari tahun 2000-2009.

Tan Sri Nor harus menjelaskan bagaimana semakan semula dan pelanjutan konsesi tol Jambatan Pulau Pinang dari tahun 2021 ke 2038 sebagai balasan untuk pembekuan tol 10% betul-betul boleh membawa manfaat kepada rakyat Pulau Pinang. Sekiranya diberi pilihan, rakyat Pulau Pinang lagi sanggup menerima kenaikan tol 10% setiap 5 tahun jika tol dimansuhkan pada 31.12.2021 daripada menunggu sampai 31.12.2038 walaupun tiada kenaikan tol dikenakan.

Serupa juga untuk BKE, rakyat Pulau Pinang lagi sanggup membayar kenaikan tol 15-25% setiap 5 tahun sampai 27.6.2026 daripada membayar sehingga 31.23.2038. BKE adalah lebih teruk berbanding Jambatan Pulau Pinang kerana bermula dari tahun 2016 kadar tol akan dinaikkan 5% setiap 3 tahun berbanding setiap 5 tahun.

Semakan semula dan pelanjutan tempoh konsesi tol sehingga 2038 sebagai balasan pengecualian pampasan kerajaan sebanyak RM6.5 bilion telah dilakukan tanpa rundingan dengan rakyat dan hanya menguntungkan syarikat-syarikat pengendali tol sementara yang ruginya rakyat Pulau Pinang dan Malaysia.

Rencana di atas adalah ucapan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng semasa Debat PR Pulau Pinang di Dewan Besar Sungai Dua di Teluk Air Tawar, Pulau Pinang pada 29 Februari (malam tadi).

Hubungan dagang Malaysia-Israel sejak 2001

Hubungan dagang Malaysia-Israel sejak 2001

Harakahdaily,01 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 1 Mac: Malaysia telah berdagang dengan negara haram Israel sejak tahun 2001 lagi ataupun lebih awal dari itu.

Menurut Data Statistik Perdagangan Komoditi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, pada tahun 2001 sahaja, Malaysia telah mengimport USD615.924 juta (RM1,847 juta) barangan Israel.

Pada tahun itu, Malaysia telah mengeksport USD26.553 juta (RM79.65 juta) barangannya ke negara haram itu.

Sejak itu, perdagangan antara Malaysia dengan Israel sentiasa saja meningkat dari tahun ke tahun.

Pada tahun 2010, Malaysia mengimport USD798.069 juta (RM2,394 juta) barangan Israel berbanding USD85.129 juta (RM255.38 juta) barangan yang dieksport Malaysia ke Israel.


(Data hubungan dagang antara Israel dan Malaysia yang dikeluarkan oleh salah satu badan di bawah PBB)

Menurut database itu juga, Malaysia adalah negara ke 18 di dunia yang menerima barangan eksport dari Israel dengan Amerika menjadi negara paling banyak menerima barangan dari negara haram itu.

Dengan kedudukan ke 18, nilai eksport Israel ke Malaysia jauh lebih tinggi berbanding Cyprus yang berrada di kedudukan ke-19, Kanada (20), Taiwan (21), Japan (22), Australia (23), Singapura (24) dan Thailand (25).

Antara barangan eksport utama Israel ke Malaysia adalah barangan elektrik dan peralatan elektronik yang bernilai USD777.940 juta (RM2,333.82 juta) pada tahun 2010.

Selain itu, Malaysia juga mengimport mesin, reaktor nuklear dan pemanas (USD4.66 juta), baja (USD3.6 juta) dan bahan kimia organik (USD2.998 juta).

Turut diimport dari Israel adalah permata, bahan kimia bukan organik, pelastik, aluminium, sayuran dan buah-buahan, optical dan bahan edible, sabun, minyak pelincir, kacang, minyak bijian, wangian dan lain-lain lagi.

Durian runtuh: Anak lapor polis seluruh negara

Durian runtuh: Anak lapor polis seluruh negara

Hazayani Zakaria,01 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 1 Mac: Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) akan membuat laporan polis di seluruh negara pada 3 Mac ini berhubung 'surat pekeliling durian runtuh' yang diedarkan Felda kepada peneroka bermula minggu lalu.

Presidennya, Mazlan Aliman berkata, surat pekeliling tersebut meminta peneroka menyerahkan semua dokumen seperti salinan kad pengenalan, geran ladang dan rumah, status senarai hitam bank dan pewaris bagi mendapat 'durian runtuh' berupa wang tunai setelah penyenaraian  Felda Global Ventures Holdings Bhd.

Ekoran itu, beliau menerima banyak aduan dariapda peneroka yang bimbang semua dokumen itu dimanipulasi untuk tujuan tertentu.

Lebih menimbulkan keraguan ujar Mazlan, perkara itu tidak diketahui Lembaga Pengarah Felda.

"Kita akan sediakan format laporan polis bermula 3 Mac di Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh, Pahang dan di seluruh negara serentak," kata beliau pada sidang media di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut, semalam.

Pengerusi Lajnah Tanah dan Pembangunan Wilayah PAS Pusat itu juga berkata, semua laporan polis tersebut akan dikumpul dan diserahkan bersama memorandum bantahan penyenaraian FGVH kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada sidang Dewan Rakyat yang akan bermula 12 Mac ini.

"Kita minta Perdana Menteri tolong hentikan sebarang cadangan penyenaraian FGVH ke Bursa malaysia.

"Sejak cadangan ini ditimbulkan, keharmonian dalam Felda mula hilang.

"Saya terima maklumat, setiap kali perhimpunan bulanan Felda, Tan Sri Isa akan memberi amaran kepada kakitangan agar tidak memberikan sebarang maklumat kepada pihak luar berkaitan usaha penyenaraian FGVH," katanya.

Mengulas lanjut, Mazlan berkata, ada peneroka dijanjikan 'durian runtuh sejumlah RM10, 000, RM20,000 dan RM30, 000.

Mazlan juga berpendapat, ini mungkin juga satu helah di mana akhirnya pihak tertentu akan menggunakan semua dokumen tersebut untuk mereka akhirnya menjustifikasikan peneroka Felda secara majoriti setuju dan menyokong penyenaraian FGVH.

"Seperti yang saya tegaskan, janji durian runtuh satu pembohongan sebab mesyuarat agung dibatalkan, jadi KPF tiada kaitan dengan penyenaraian," katanya.

KERAJAAN PAKATAN RAKYAT SELANGOR

Selangor cetak semula borang rumah mampu milik

Harakahdaily,01 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 1 Mac: Borang pendaftaran untuk membeli Rumah Mampu Milik (RMM) Negeri Selangor telah dicetak semula, kata Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan negeri Iskandar A. Samad (gambar).


Katanya, borang-borang boleh diperolehi dari Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor (LPHS) di Tingkat 5, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, 40503 Shah Alam.

Beliau memberitahu, borang-borang tersebut mulai dijual pada bulan Jun tahun lepas apabila Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) melancarkan RMM mereka di Bandar Baru Bangi.

“Walau bagaimanapun kesemua 2,700 borang bagi cetakan pertama telah habis dijual dan memerlukan cetakan kedua,” ujarnya lagi.

Jelasnya, setiap borang telah dijual dengan harga RM5 yang termasuk kos memproses.

Katanya, untuk projek RMM PKNS di Bangi, sebanyak 640 permohonan telah diterima untuk 124 unit yang dibina.

Beliau dalam satu kenyataan hari ini menambah, nama-nama mereka yang terpilih untuk membeli RMM itu telah dipamerkan di dalam laman web LPHS selama 2 minggu mulai 16 Disember lepas.

“Tetapi dengan pengumuman bahawa 136 unit RMM akan disiapkan  oleh sebuah pemaju swasta di Sg. Long, Kajang pada bulan September ini maka adalah dijangka lebih ramai yang akan mendapatkan borang ini,” ujarnya yang juga Adun Chempaka.

Katanya, mereka yang mempunyai  sebarang pertanyaan bolehlah menghubungi LPHS di talian 03-5544 7078.

ISU BERSIH

Bersih: Mohamad Sabu dan 16 lagi diarah bela diri

Harakahdaily,01 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 1 Mac:Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memerintahkan 17 orang termasuk Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, Ahli Parlimen Batu, Tian Chua dan Ahli Parlimen Padang serai, N. Gobalakrishnan membela diri terhadap pertuduhan terlibat dalam perhimpunan Bersih pada 2007.

Hakim Datuk Ghazali Cha mendapati terdapat kes prima facie terhadap mereka setelah meneliti hujah rayuan yang dikemukakan pihak pendakwa di Mahkamah Sesyen pada 19 November 2010.

Mereka diperintah membela diri di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Datuk Jagjit Singh Bant Singh pada tarikh yang akan ditetapkan kemudian dan menaikkan ikat jamin daripada RM2,000 kepada RM5,000 setiap seorang.

Menurut Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Pusat, Aiman Athirah Al-Jundi yang turut berada di mahkamah hari ini, sekretariat Bersih 2.0 dengan bantuan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sedang menyediakan wang ikat jamin untuk setiap orang kena tuduh (OKT).

"Kesemua OKT perlu menjelaskan ikat jamin hari ini, kalau gagal mereka akan diperintah masuk lokap," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily.

Bagaimanapun, seorang daripada OKT telah meninggal dunia tahun lalu manakala seorang lagi sakit dan tidak dapat hadir.

Mohamad Sabu, 57, dan Tian Chua atau nama sebenarnya Chua Tian Chang, 39, menghadapi dua pertuduhan iaitu tuduhan utama dan tuduhan pilihan.

Bagi tuduhan utama, mereka didakwa bersama-sama sebagai anggota perhimpunan yang menyalahi undang-undang dan boleh membawa kepada kemudaratan awam.

Bagi tuduhan pilihan, mereka didakwa bersama-sama mengambil bahagian dalam perhimpunan tersebut dan didakwa mengikut Seksyen 27 (5)(a) Akta Polis 1967 yang membawa hukuman denda sehingga RM10,000 dan penjara tidak melebihi setahun, jika sabit kesalahan.

Mohamad Sabu dan Tian Chua didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Istana Baru di sini pada 3.05 petang 10 November 2007.

MP Sabak Bernam dihukum penjara 6 tahun, denda

MP Sabak Bernam dihukum penjara 6 tahun, denda
Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini menjatuhkan hukuman enam tahun penjara dan denda RM400,000 terhadap anggota parlimen Sabak Bernam Abdul Rahman Bakri.

Wakil rakyat BN itu didapati bersalah atas lapan tuduhan berhubung kesalahan membuat tuntutan palsu berjumlah RM80,000.

Hakim Azhaniz Teh Azman menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM50,000 untuk setiap kesalahan.

Pemimpin utama PAS Islam dan soleh - Nik Aziz

Pemimpin utama PAS Islam dan soleh - Nik Aziz

Harakahdaily,01 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 1 Mac: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini mengulangi penegasannya bahawa sesiapa sahaja yang beragama Islam yang soleh boleh memimpin parti itu.

Katanya, persoalan bangsa sama ada Melayu atau sebaliknya tidak menjadi persoalan selagi mereka adalah "muslim yang soleh".

"Saya ingin mengulangi penegasan saya bahawa sesiapa sahaja yang merupakan muslim yang soleh boleh memimpin PAS sekalipun bukan berbangsa Melayu kerana bangsa tidak mempunyai apa-apa nilai di sisi Allah SWT, " katanya melalui laman sosial Facebook hari ini.

Menurutnya, tiada guna sekalipun pemimpin itu Melayu, jika jahil tentang undang-undang Islam itu sendiri.

Tanpa menamakan sesiapa, Tuan Guru Nik Aziz juga turut merujuk kepada bekas seorang pemimpin Melayu negara yang disifatkannya masih meraba-raba.

"Untuk apa berbangsa Melayu jika masih mengeluarkan kenyataan yang mencerminkan kejahilan terhadap undang-undang Allah SWT?

"Saya simpati dengan salah seorang bekas pemimpin negara yang rupanya masih meraba-raba," katanya dalam nada menyindir. 

Kenyataan Tuan Guru Nik Aziz yang juga menteri besar Kelantan itu dipercayai sebagai respon terhadap kenyataan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir dalam kennyataannya semalam mencabar PAS melantik  Penasihat DAP, Lim Kit Siang sebagai Presiden PAS.

“Dulu PAS kata kita kerjasama dengan kafir. Setakat mana pemimpin bukan Islam dalam PAS?

"Sepatutnya, Lim Kit Siang menjadi Presiden PAS kerana beliau rakyat Malaysia yang mengutamakan Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai merujuk kepada pandangan AJK PAS Pusat Dr Dzulkefly Ahmad kelmarin, bahawa PAS bersedia menerima bukan Islam sebagai pemimpin barisan kedua parti sekiranya ia satu keperluan dan ada tuntutan seperti yang dilakukan parti Ikhwanul Muslimin di Mesir.

Namun kata Dr. Dzulkefly, perkara itu tidak timbul sekarang ini, dan jika sekalipun akan dilaksanakan, perkara itu perlu diputuskan dalam muktamar parti.

Seorang peguam di setiap kawasan p'raya PAS

Seorang peguam di setiap kawasan p'raya PAS
Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia, Dewan Pemuda Pas Malaysia (JUHAM) telah berjaya mengadakan Kursus Undang-undang Pilihan Raya di Melaka pada hari Sabtu lalu dengan kehadiran 60 pimpinan dan petugas parti.

Manakala keesokannya pula, JUHAM mengadakan kursus yang sama di Batu Pahat, Johor Darul Takzim dengan kehadiran lebih 100 orang pimpinan dan petugas parti dari 26 kawasan parlimen di negeri Johor.

Kursus yang berlangsung hampir 4 jam untuk setiap negeri itu telah mendapat sambutan hangat daripada peserta dengan sesi yang amat interaktif.

Para peserta telah berjaya mendalami ilmu pilihan raya dan memahami taktik dan teknik untuk menangani tipu daya pihak lawan.

Para peserta juga telah didedahkan dengan simulasi bilik mengundi yang berjaya menghadamkan peserta dengan situasi sebenar dalam bilik mengundi dan tindakan yang perlu dibuat bagi mengatasi masalah pengundi hantu, penyamaran, pengaruh tidak wajar dan penipuan yang berlaku.

Peserta juga telah mendapat suntikan baru untuk terus berjuang bagi memastikan misi Pakatan Rakyat untuk menakluki negeri Melaka dan Johor dan membebaskan kedua-dua negeri ini daripada terus dibelenggu masalah korupsi, pentadbiran tidak cekap dan penyelewengan yang berlaku di negeri tersebut.

Para peserta juga diingatkan untuk memaksimumkan tenaga penggerak bagi menghadapi pilihan raya ke-13 ini yang disifatkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai pilihan raya yang paling sengit akan dihadapi oleh BN.

Para peserta juga telah berikrar akan memastikan kesemua kerusi pimpinan BN akan kecundang khususnya kerusi Parlimen Pagoh yang dipegang oleh timbalan perdana menteri sendiri.

Segala isu-isu yang berbangkit di negeri Johor khusus kemelut Johor Corporation akan diterangkan kepada pengundi bagi menunjukkan kerakusan BN untuk menguasai harta rakyat.

Oleh itu, bagi memastikan kejayaan Pakatan dalam pilihan raya ke-13 nanti, JUHAM akan memastikan bahawa setiap kawasan Parlimen yang ditandingi oleh PAS akan dibantu oleh sekurang-kurangnya seorang peguam yang akan memantau segala penyelewengan proses pilihan raya.


Penulis ketua unit media dan penerangan, Jabatan Undang-undang dan Hak Asasi Manusia Dewan Pemuda PAS.

Wednesday 22 February 2012

Islam atasi perjuangan untuk kaum

Islam atasi perjuangan untuk kaum

Rizal Tahir,22 Feb 2012
KOTA BHARU, 22 Feb: Mufti Perak Tan Sri Harussani diingatkan lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan khususnya berhubung pendekatan yang digunakan Rasulullah saw berhubung kaum.

Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa (gambar) , berkata pendekatan yang diberikan Mufti Perak itu salah kerana menggunakan agenda perkauman Melayu mengatasi Islam.

Katanya, ini kerana Islam sebagai agama suci mengatasi kaum dan tidak terhad kepada satu-satu kaum sahaja.

"Islam membawa agenda keadilan, perpaduan, kesaksamaan dan kebajikan mengatasi bangsa. Umno hanya menjadikan Islam sewaktu memerlukan sahaja,”ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mesyuarat exco, di pejabatnya tengahari tadi ketika mengulas kenyataan Mufti Perak itu dalam portal Malaysiakini.

Husam mengulas pandangan sesetengah pihak mengenai perjuangan kaum.

Harussani, dalam ucapannya semasa merasmikan sebuah NGO tiga jalur berkata,  berkata Nabi Muhammad sendiri telah menyeru kepada kaum Quraisy pada waktu itu supaya mempertahankan bangsa mereka.

"Ada orang kata kalau kita bercakap bangsa Melayu dikatakan kita ini orang yang nasionalis. Nabi juga bercakap tentang kaumnya.

"Kita pertahankan bangsa kita bukan bermakna taksub dan memang wajib pun kita pertahankan kerana negara ini adalah kepunyaan orang Melayu," kata Harussani sebagaimana dilaporkan media.

Sambung Husam lagi, Malaysia meliputi pelbagai kaum dan sekiranya mahukan kaum lain menerima Islam, maka tidak boleh dihadkan hanya kepada Melayu sahaja.

Beliau turut menambah Umno yang memerintah negara ini melalui tempoh 54 tahun merdeka gagal membawa Melayu dalam pembangunan Negara.

Jelasnya, kegagalan itu jelas nampak dalam kenyataan Tan Sri Harussani, Datuk Hasan Ali, Datuk Ibrahim Ali, Tun Mahathir dan Datuk Seri Sanusi Junid baru-baru ini.

Beliau yang juga anggota exco kerajaan negeri seterusnya berkata, kegagalan beberapa institusi membangunkan Melayu di zaman Tun Razak dapat dilihat setelah ianya  digugurkan.

“Bagaimana Bernas telah diswastakan, tanah-tanah UDA di tengah-tengah bandar telah dijual malah peranan MARA sendiri semakin mati fungsinya,”ujarnya lagi.

Khairy sahkan Malaysia berdagang dengan Israel

Khairy sahkan Malaysia berdagang dengan Israel

Harakahdaily,22 Feb 2012
KUALA LUMPUR, 22 Feb:Ketika para blogger Umno bermati-matian berkata tiada kapal Israel masuk ke Malaysia, Ketua Pemuda Umno pula mengesahkan Malaysia mempunyai hubungan dagang dengan Israel.

(Salah sebuah kapal Israel yang mendarat di Perlabuhan Klang)

Khairy berkata, kerajaan mempunyai polisi dan  pendirian yang jelas bahawa Malaysia tidak mempunyai hubungan politik dan diplomatik dengan Israel.

"Sebagai seorang Ahli Parlimen, saya sedar bahawa ada hubungan perdagangan antara Malaysia dan Israel tetapi ia adalah  hubungan antara syarikat.

"Saya harap perkara ini dapat diketahui umum bahawa kita berdagang  bukan kerana kita sokong Israel tetapi ini keperluan dari segi globalisasi," katanya.

Selain menolak kenyataan bloger Umno, kenyataan Khairy juga menolak kenyataan pihak pengurusan Perlabuhan Klang baru-baru ini.

Westport, Port Klang melalui Ketua Korporatnya, Mejar (B) Manisegaran seperti yang dilaporkan oleh Sinar Harian mengakui kehadiran Kapal Israel, ZIM Integrated Shipping Services Ltd yang berlayar dari Israel [Sinar].

Namun beliau mendakwa tiada sebarang urusniaga berlangsung kerana kapal tersebut hanya singgah sahaja.

Sebelum ini, pelbagai pihak dalam Umno membuat pelbagai tuduhan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim berikutannya kenyataannya dalam The Wall Street Journal.

Namun bagi para blogger Pakatan, tindakan ini hanya umpama, "Depan rakyat maki Israel, belakang rakyat cium bontot Israel" sahaja.

Peneroka diusir pada taklimat Koperasi Felda

Peneroka diusir pada taklimat Koperasi Felda
Seorang peneroka hari ini diusir daripada menghadiri sesi taklimat yang diadakan oleh Koperasi Permodalan Felda (KPF) di Kuala Lumpur, selepas beliau menyoal pengerusi Felda Tan Sri Isa Samad berhubung jaminan kepada pemegang saham mengenai dividen mereka.

"Saya mahu jaminan dividen kami apabila Felda Global Venture Holding (FGVH) disenaraikan. Isa beritahu saya Perdana Menteri beri jaminan. Saya beritahunya PM tidak akan jadi PM selama-lamanya.

"Kemudian Isa berkata jika saya tidak percaya kepada PM, saya harus tinggalkan dewan. Saya beritahunya, saya sudah berada di Felda selama 50 tahun, tetapi awak hanya masuk Felda selama dua tahun dan dakwat pada ibu jari awak pun masih basah. Awak yang patut tinggalkan dewan,” kata R Sanggam yang berasal dari Felda Sendayan.

Menurut beliau, kejadian yang berlaku kira-kira jam 3:30 petang tadi.

Mengesahkan ceritanya, adalah rakan peneroka Saparuddin Mohd Yasin yang berkata, keadaan semakin hangat apabila sebahagian daripada pemegang ekuiti di bilik itu mulai marah dengan Sanggam kerana mengeluarkan kata-kata berkenaan.

KPF hari ini mengadakan taklimat untuk ahli-ahlinya bagi menjelaskan kesan penyenaraian FGVH, setelah mesyuarat agung  perwakilan khasnya terpaksa dibatalkan berikutan perintah injunksi Mahkamah Tinggi Kuantan yang melarangnya daripada membincangkan penyenaraian berkenaan.

Seramai 1,200 perwakilan KPF sepatutnya mengundi cadangan penjualan 51 peratus kepentingan dalam Felda Holdings Bhd dan di 10 subsidiari yang membabitkan FGVH pada mesyuarat yang dijadualkan hari ini.

Sekiranya, cadangan itu diluluskan, KPF akan memindahkan aset perniagaannya kepada FGVH.
'Penyelesaian Tajudin-GLC penyalahgunaan kuasa'
Kekurangan ketelusan dalam penyelesaian luar mahkamah antara bekas pengerusi Penerbangan Malaysia (MAS) Tan Sri Tajudin Ramli dan beberapa syarikat berkaitan kerajaan (GLC), minggu lalu tidak memberi imej yang baik kepada Malaysia sama ada di dalam mahupun di luar negara.

NONEPengerusi Transparency International Malaysia Datuk Paul Low berkata kes itu menunjukkan penyalahgunaan kuasa yang terang-terangan dan urusan kewangan negara yang tidak berhemat  sehingga mengakibatkan kerugian dana awam.

Low juga berkata berikutan penyelesaian di luar mahkamah itu, hasrat Malaysia untuk mengamalkan tadbir urus yang baik mula di bawah penelitian dan dipertikaikan.

"Dakwaannya (Tajudin) bahawa kerajaan (melalui jaminan yang diberikan oleh perdana menteri dan menteri kewangan ketika itu) telah melepaskannya daripada apa-apa liabiliti yang ditanggung dalam pembelian saham MAS itu daripada Bank Negara perlu dibukti dan disahkan oleh institusi serta menteri-menteri berkenaan.

"Kami amat bimbang kerana kekurangan pendedahan maklumat itu seolah-olah menggambarkan terdapat ‘perlupusan arbitrari’ pinjaman RM589 juta yang terhutang oleh Tajudin berkaitan pembelian saham MAS," kata Low kepada Malaysiakini.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 7 Disember 2009, mengarahkan Tajudin membayar RM589 juta kepada Pengurusan Danaharta Nasional Bhd, yang menguruskan pinjaman tidak berbayar. Mahkamah yang sama sebelum ini menolak tuntutan balas saman RM13 bilion Tajudin.

tajudin ramli mas 070910Selasa lalu, Tajudin menarik balik rayuannya terhadap Danaharta dan GLC lain berikutan  keputusan Mahkamah Tinggi.

Pada hari yang sama, Tajudin juga menarik balik saman terhadap litigan lain, termasuk Telekom Malaysia Bhd, Naluri Corporation, Celcom (M) Bhd, Atlan Holding Bhd dan CIMB Group.

Ahli parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua yang memetik sumber, mendakwa tuntutan RM589 juta itu dilupuskan sebagai sebahagian daripada penyelesaian berkenaan.

300 peneroka di NS bantah penyenaraian FGVH

300 peneroka di NS bantah penyenaraian FGVH
Lebih 300 peneroka Felda dari penempatan di Palong 4, 5 dan 6 di Negeri Sembilan membantah  cadangan penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGVH) di Bursa Malaysia, malam tadi.

Sehubungan itu, peneroka di penempatan berkenaan menyatakan sokongan terbuka dengan meletakkan tandatangan pada kain rentang serta mencatatkan segala kekecewaan mereka. Antaranya, 'Umno-BN penipu', 'Felda penipu', 'Hidup Keadilan' dan 'Lawan tetap Lawan.

NONEIni adalah acara sampingan semasa presiden PKR Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengadakan lawatan ke kawasan Felda Palong 6 malam semalam.

Isteri ketua umum PKR itu juga melancarkan kempen mengumpul 100,000 tandatangan yangb diterajui oleh Biro Felda dan Orang Asal PKR yang membantah cadangan penyenaraian FGVH.

Biro itu merancang mengadakan perhimpunan besar-besaran pada 29 Mac ini di Kuala Lumpur, sebelum menganjurkan satu lagi bantahan di Putrajaya pada hari berikutnya untuk membantah cadangan penyenaraian yang dijadualkan pada 10 Mei ini.

"Kami telah memohon kepada pihak pengurusan Kelab Sultan Sulaiman dan masih menunggu kelulusan mereka. Kami akan jahit kain rentang itu bersama-sama berarak membawa tandatangan pada hari itu.

NONE“Kemudian pada 30 Mac, kami akan menyiapkan diri untuk perhimpunan besar di hadapan Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya, "kata ketua biro itu, Suhaimi Said (kanan, berdiri).

Menurut beliau, peneroka Felda pada hari berkenaan akan berhimpun di masjid Putrajaya sebelum berarak, manakala kain rentang yang mengandungi 100,000 tandatangan peneroka Felda juga akan dibawa bersama.