Thursday 1 March 2012

Seorang peguam di setiap kawasan p'raya PAS

Seorang peguam di setiap kawasan p'raya PAS
Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia, Dewan Pemuda Pas Malaysia (JUHAM) telah berjaya mengadakan Kursus Undang-undang Pilihan Raya di Melaka pada hari Sabtu lalu dengan kehadiran 60 pimpinan dan petugas parti.

Manakala keesokannya pula, JUHAM mengadakan kursus yang sama di Batu Pahat, Johor Darul Takzim dengan kehadiran lebih 100 orang pimpinan dan petugas parti dari 26 kawasan parlimen di negeri Johor.

Kursus yang berlangsung hampir 4 jam untuk setiap negeri itu telah mendapat sambutan hangat daripada peserta dengan sesi yang amat interaktif.

Para peserta telah berjaya mendalami ilmu pilihan raya dan memahami taktik dan teknik untuk menangani tipu daya pihak lawan.

Para peserta juga telah didedahkan dengan simulasi bilik mengundi yang berjaya menghadamkan peserta dengan situasi sebenar dalam bilik mengundi dan tindakan yang perlu dibuat bagi mengatasi masalah pengundi hantu, penyamaran, pengaruh tidak wajar dan penipuan yang berlaku.

Peserta juga telah mendapat suntikan baru untuk terus berjuang bagi memastikan misi Pakatan Rakyat untuk menakluki negeri Melaka dan Johor dan membebaskan kedua-dua negeri ini daripada terus dibelenggu masalah korupsi, pentadbiran tidak cekap dan penyelewengan yang berlaku di negeri tersebut.

Para peserta juga diingatkan untuk memaksimumkan tenaga penggerak bagi menghadapi pilihan raya ke-13 ini yang disifatkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai pilihan raya yang paling sengit akan dihadapi oleh BN.

Para peserta juga telah berikrar akan memastikan kesemua kerusi pimpinan BN akan kecundang khususnya kerusi Parlimen Pagoh yang dipegang oleh timbalan perdana menteri sendiri.

Segala isu-isu yang berbangkit di negeri Johor khusus kemelut Johor Corporation akan diterangkan kepada pengundi bagi menunjukkan kerakusan BN untuk menguasai harta rakyat.

Oleh itu, bagi memastikan kejayaan Pakatan dalam pilihan raya ke-13 nanti, JUHAM akan memastikan bahawa setiap kawasan Parlimen yang ditandingi oleh PAS akan dibantu oleh sekurang-kurangnya seorang peguam yang akan memantau segala penyelewengan proses pilihan raya.


Penulis ketua unit media dan penerangan, Jabatan Undang-undang dan Hak Asasi Manusia Dewan Pemuda PAS.

No comments:

Post a Comment