Wednesday 22 February 2012

Bantah ISA: Penjara sehari, denda RM2,000

Bantah ISA: Penjara sehari, denda RM2,000

Hazayani Zakaria,22 Feb 2012
KUALA LUMPUR, 22 Feb: Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini menjatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM2,000 kepada 11 daripada 16 orang yang ditahan kerana menyertai himpunan aman membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 2009 lalu.

Manakala lima lagi yang tidak hadir dikeluarkan waran tangkap hari ini dan mereka perlu hadir di mahkamah pada 21 Mac ini untuk mendengar pertuduhan.
Hakim Ainul Shahrin Mohamad membuat keputusan itu selepas berhenti rehat seketika, pagi ini.
Pihak peguam sedang membuat hujah rayuan.
Lima daripada mereka adalah wanita termasuk Ketua Penerangan Muslimat PAS Pusat, Aiman Athirah Al-Jundi.


Dua lagi, Nashita Md Nor dan Norlaila Othman merupakan aktivis Gerakan MAnsuhkan ISA (GMI) manakala dua lagi iaitu  Salmah Ismail and Hayati Abd Samad merupakan Wanita PKR.
Mereka ditahan pada hari perhimpunan aman Mansuhkan ISA pada 1 Ogos 2009 di sekitar Masjid Negara dan Jalan Tunku Abdul Rahman di sini antara jam 9 pagi dan 1.30 petang.

Pada 21 Oktober tahun lalu, mereka yang didakwa di bawah Seksyen 143 Kanun Keseksaan dipanggil membela diri kerana pihak pendakwa berjaya membuktikan prima facie kes bagi pertuduhan pilihan di bawah Seksyen 27 Akta Polis.
Seramai 29 orang didakwa dan 13 tahanan yang merupakan anggota Unit Amal iaitu pertubuhan di bawah Dewan Pemuda PAS Pusat didakwa di bawah Akta Pertubuhan 1966.
Bagaimanapun, 13 tahanan itu dibebaskan kerana pihak pendakwa  gagal mengemukakan bukti-bukti bahawa ianya pertubuhan haram dan tidak boleh disabitkan dengan menyertai perhimpunan haram.

Turut hadir memberikan sokongan di mahkamah ialah Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mazlan Aliman, Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Mohd Noor Mohamad, Timbalan Ketua Dewan Muslimat Dr. Siti Mariah Mahmud, Setiausaha Dewan Pemuda, Khairul Faizi Ahmad Kamil, Naib Presiden PKR, Tian Chua dan Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamarudin.

No comments:

Post a Comment