Wednesday 22 February 2012

Bersih: Mahkamah tolak rayuan Peguam Negara

Bersih: Mahkamah tolak rayuan Peguam Negara

Harakahdaily,

KUALA LUMPUR, 10 Jan: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak rayuan daripada Peguam Negara yang merayu terhadap keputusan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 4 Mei 2009 yang melepaskan dan membebaskan 10 orang termasuk beberapa pimpinan PAS daripada pertuduhan terlibat dengan perhimpunan Bersih pada 11 Disember 2007 lalu.

Keputusan tersebut dibaca oleh Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Su Yeok Geam.
Mahkamah Sesyen pada 4 Mei 2009 telah melepaskan dan membebaskan 10 orang tersebut di mana pihak pendakwa menurut mahkamah gagal membuktikan wujudnya perhimpunan haram pada hari tersebut yang menyalahi Seksyen 27 (5) (a) Akta Polis 1967.

Antara mereka yang ditahan kerana dituduh menyertai perhimpunan itu ialah Bendahari PAS Pusat, Dr Mohd Hatta Ramli, Ketua Pemuda PAS Malaysia dan Muslimat PAS Wilayah Persekutuan, Nasrudin Hassan dan Ustazah Nuridah Salleh, dan Presiden PSM, Dr Mohd Nasir Hashim dan Allahyarhamah Dr Lo' Lo' Ghazali.

Manakala lima lagi adalah Badilah Muda, Hashim Awang, Azira Arifin, Mohd Sabri Syafie dan Ang Hok Gan.

Mereka pada jam 11.30 pagi, 11 Disember 2007, telah hadir ke bangunan parlimen bagi menghantar satu memorandum, mendesak kerajaan supaya tidak melanjutkan khidmat Tan Sri Ab Rashid Ab Rahman sebagai Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada waktu itu.

Semua tertuduh diwakili oleh barisan Peguam daripada Jabatan Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (Juham) Dewan Pemuda PAS Malaysia yang diketuai oleh Ketua Unit Tindakan Kes-kes Jenayah Juham, Ariff Azami dan dibantu oleh Radzlan Jalal, Azizul Shariman, Dr Zulqarnain Luqman, Noorazmir Zakaria dan Pengarah Juham, Ahmad Zamri Asa'ad Khuzaimi.

Menurut Ahmad Zamri Asa'ad Khuzaimi, keputusan itu membuktikan bahawa pertuduhan dan pendakwaan tersebut jelas bermotifkan politik di mana mereka yang dituduh hanya melaksanakan hak kebebasan bersuara seperti mana yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

No comments:

Post a Comment